VIP HAKIKI

Setelah mengenakan minyak zaitun, aku terus menyikat rambut. Selepas itu, aku memakai minyak wangi kegemaraanku yang semestinya baunya sudah terlalu sinonim dengan aku sejak dari dulu lagi.

“Eh, bau harum Abg Ez!” sapa seorang junior di masjid. Kali ni kami bermalam di masjid sambil berniat nak berusrah dan qiamullail.

Aku hanya tersenyum, dan bergerak ke arah baju melayu aku yang terlentang di atas lantai begitu sahaja.

“Eh, abang nak pergi mana segak-segak ni? Malam-malam pun hensem hehe,” sambung dia lagi.

Namanya Arsyad. Seorang pelajar yang bersifat sangat inkuiri. Selepas menyidai baju itu, aku pun melabuhkan punggung di atas lantai sambil bersandar di dinding. “Abang tak pergi mana-mana lah.”

“Eh, habis tu kenapa abang pakai minyak attar ni?” tanya dia. Jelas di raut wajahnya yang dia memang ingin tahu.

“Erm, abang memang suka pakai minyak wangi sebelum tidur. Suka rambut yang basah. Rasa fresh sikit nak tidur. Entahlah, memang perangai abang dari dulu.”

“Oh yeke.” Selepas itu, Arsyad beredar dan gigih menyiapkan homeworknya di satu ruang di masjid. Aku pula menyambung pembacaanku tentang sirah, tiba-tiba rasa nak memberi pengisian berkenaan tarikhul islam.

   ***

Beberapa jam kemudian, aku bangkit dari tidur dan mengejutkan Arsyad dari tidur. Bukunya masih ternganga luas.

Aish budak ni mesti tertidur semasa cuba siapkan kerja math dia ni.

“Jom Syad. Kita solat pula.”

Arsyad bangun dengan gaya malas, sambil menggeliat. “Erm, jap saya bersiap.”

“Ok abang pun nak mandi kejap.”

Setelah aku selesai bersiap, nampak dari jauh yang Arsyad sudah bersiap; dia hanya mengenakan kain pelikat dan baju t-shirt yang juga dipakainya ketika tidur.

“Eh, cepatnya Syad mandi,” saya berkata.

“Hehe, Syad tukar pakai kain dan berwudu’ je,” balasnya.

“Hmm. Ok.”

Kami menunaikan solat sunat Tahajjud, diikuti solat sunat hajat, taubat dan witir. Selepas itu kami berdoa bersama.

Oh tenangnya rasa di pagi sepi ini. Hanya bersama Tuhan yang satu. Jauh dari segala masalah, segala mehnah yang sentiasa meresahkan hati di siang hari.

Usai urusan ibadah, aku mengajak Arsyad berusrah sementara menunggu masuk waktu subuh.

“Hmm, Arsyad tanya abang kenapa abang suka pakai minyak wangi, pakai minyak rambut sebelum tidur ya?”

“Ha ah, semalam abang dah jawab yang abang memang dah biasa dari kecik lagi.”

Aku membalas dengan senyuman. “Sebenarnya ada sebab kenapa abang buat macam tu.”

“Huh? Apa dia bang?”

“Syad pernah jumpa VIP tak? Ikutlah…mana-mana orang penting dan hebat dalam negara ke..?”

“Pernah. Hari tu kan Arsyad yang jadi pengiring seorang YB tu, nama apa ehh, yang datang untuk perasmian Majlis Penyerahan Watikan Pelantikan Pimpinan Pengawas.”

“Haaa. Arsyad pakai macam mana hari tu?”

“Huh? Nape abang tanya macam tu??”

“Jawab dulu.”

“Erm,” fikir Arsyad. “Saya pakai baju pengawas lah, dengan tie, dan saya pakai blazer. Kasut hitam tu saya kiwi awal-awal.”

“Oh ya, saya juga pakai perfume macam abang, cuma yang saya punya spray!” sakat Arsyad sambil ketawa kecil.

“Haha….baguslah kalau macam tu,” aku membalas dengan senyuman juga. “Kenapa Arsyad pakai macam tu? Kenapa tak pakai macam sekarang?”

“Eh, soalan apa ni abang? Mestilah, YB tu kan orang hebat, orang penting dan dihormati. Saya ni siapalah sangat,” balas Arsyad, terkejut dengan soalan aku.

“So tadi kita solat kita menghadap siapa ya dik?”

Tadi? Tadi…Oh.” Tiba-tiba dia terdiam.

“Eh saya buat salah ke? Dosa ke saya buat camtu??” soal Arsyad dengan penuh kerisauan. Mukanya kelihatan panik seolah-olah aku akan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan perbuatan dia.

“Eh taklah Arsyad. Camni, Arsyad pakai kemas-kemas masa jumpa VIP tu sebab apa? Sebab adab kan?”

Budak itu menganguk-angguk.

“Jadi, kalau Arsyad tak pakai macam tu, agak-agak Arsyad kena saman tak? Contohnya Arsyad pakai kain pelikat dan jersey je. Agak-agak kena sepak ke, kena penampar ke.”

“Eh takde lah sampai macam tu. Tapi tak beradab lah saya dikira. Nanti orang cop saya exco pengawas yang selekeh dan tak reti protokol,” balas junior aku itu.

“Haaa, itulah Syad!”

Aku meletakkan tangan atas bahu kanan dia. “Samalah bila kita nak hadap Allah. Arsyad, kalau nilai yang tinggi kita boleh letakkan ke atas manusia, di mana semakin berjawatan orang itu, semakin tertunduk kita menghormatinya, jadi kita akan jaga dari segala aspek, termasuk percakapan, pergerakan, hatta pemakaian sekalipun.”

“Jadi apakah Allah itu bukan VIP?”

Arsyad tertunduk.

“Allah bukan VIP macam manusia. Tapi Allah Tuhan kita. Tuhan yang Maha Kaya, Maha Berkuasa di atas segala-galanya. Jadi kenapa kita sombong sangat nak hadap Tuhan yang Maha Berkuasa dengan keadaan paling terbaik kita?”

“Syad, ini realiti. Abang dah lama perhatikan, terutama pelajar asrama kita. Bangun pagi, acuh tak acuh mesti bangun dan hanya berwudu’, seluar ditukar pakai kain sahaja. Gosok gigi pun kadang-kadang tak.”

“Sebab itu kadang kita takde kemanisan dalam beribadah dik. Sebab kita sendiri tidak cuba ‘memaniskan’ diri kita terlebih dahulu. Kita nak hadap Allah dengan tenang, dengan selesa, supaya konsentrasi kita hanyalah padaNya.”

“Hatta pemakaian sekalipun. Kita akan anggap benda sebegini remeh. Alaa, baju je. Seluar je. Apa kecoh sangat, kita akan cakap. Tapi berani ke kita persoal benda sebegini dekat orang-orang besar? Tak kan?”

“Nabi pun pernah bersabda, dalam riwayat Muslim dan Tirmidzi tak silap abang, “Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan”.”

“Ya benar, Allah pandang hati, Allah tak pandang zahir. Tapi ingat dik, yang zahir akan memberi kesan kepada hati. Nak cuci hati, kena cuci fizikal diri juga. Barulah kita dapat jadi Muslim yang kamil dan syamil. Inilah dinamakan adab dan akhlak kita dengan Allah”

“Berkenaan kenapa abang berbuat sedemikian juga sebelum tidur. Sebenarnya abang risau. Abang takut yang abang akan mati dalam keadaan paling selekeh. Tidur ni kan sudah separuh mati. At least…kalau abang pergi..at least abang berpuas hati dengan fizikal diri.”

Kelihatan air mata sudah bergenang di kelopoknya. Aduh. Deep sangat ke aku bagi?

“Syad, kita semua ingin kembali kepada Allah dengan sebaiknya kan? Jadi apa kata kita bermula dengan sekarang? Kita tahsinkan amalan kita, pakaian kita, adab dan akhlak kita denganNya.”

“Ok Arsyad?” aku cuba menenangkannya.

Tiba-tiba, dia bersuara. “Saya nak mandi jap abang. Nanti kita jumpa balik.”

Lalu dia beredar.

Sejak hari tu, aku tak pernah jumpa orang yang lebih wangi dan lebih kemas pemakaiannya berbanding seorang Arsyad.

Ya, dialah orangnya. Dia sudah jumpa siapa VIP hakiki dan abadinya .

Alhamdulillah.

“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai akan orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas).”

(Surah Al-A’raaf, ayat 31)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s